Kadang ada perkara yang tak terluah dengan lisan....maka luahkanlah dengan perasaan :)

Monday, September 27, 2010

Nota Buat Mak

Mak...
Malam tadi ida tak boleh lena
Hati meronta-ronta untuk mencipta
Melakar kata meluah rasa
Istimewa untukmu ibu tercinta

Mak...
Kala ida lahir ke dunia
Mak dan abah bersengkang mata
Menjaga permatamu ini dengan sempurna
Mendidik, membimbing setiap masa
Agar menjadi insan berguna

Mak...
Kasihmu itu bagaikan syurga
Buat anak-anakmu berasa bangga
Memilikimu sebagai mutiara
Yang bersinar setiap masa

Mak...
Kini ida bergelar ibu
baru kutahu ertinya sendu
Bila anak-anak melawan kata
Bila anak-anak meninggi suara
Bila anak-anak berpaling muka

Mak...
Hampir setahun abah pergi
Tinggalkan mak hidup sendiri
Kami anak-anak turut merasai
Kembalinya abah kepada Ilahi
Memberi kesan dalam hati ini
Apatahlagi mak sebagai isteri

Mak...
Kasar pandangan kita serupa
Berpisah dengan insan tercinta
Cuma mak berbeza dunia
Sedangkan ida masih jelas di depan mata

Mak...
Cekal hatimu mengalir dalam diri ini
Melawan badai yang datang tanpa henti
Terima kasih mak kerana menyayangi
Menjadikan ida lebih tabah dan berani

Mak...
Hari ini hari lahirmu
Bertambah lagi usia tuamu
Namun kasihmu kekal begitu
Mengasihiku tanpa ragu

SELAMAT HARI LAHIR....MAK
AMPUNKAN SALAH SILAP ANAKMU INI
DARI HUJUNG RAMBUT HINGGA KE HUJUNG KAKI
HALALKAN SETIAP TITISAN SUSU YANG KAUBERI
MOGA KEHIDUPAN KITA DIBERKATI ILAHI

Nukilan : SWEETIE

No comments:

Post a Comment