Kadang ada perkara yang tak terluah dengan lisan....maka luahkanlah dengan perasaan :)

Tuesday, September 28, 2010

Pesanan Buat Adik-adik Perempuanku

Dik
Tika kau lahir ke dunia ini
Mak dan abah menyambutmu
Dengan penuh kesyukuran
Dengan penuh kebahagiaan
Kau dibelai dan dimanja
Sampai dirimu menginjak remaja

Dik
Bila usiamu belasan tahun
Mak dan abah mula gelisah
Inilah saat bermula sejarah
Bila perasaanmu mula dijamah
Naluri cinta yang mungkin membawa padah

Dik
Kapan cinta datang menyapa
Memang kau akan rasa bahagia
Lupa seketika ibu dan bapa
Kononnya si dia lebih berharga
Umurmu itu setahun jagung
Tak tahu membeza buaya dan jerung
Baik si dia mungkin bermakna
Mengajak kamu ke lembah hina

Dik
Kasihanilah mak kasihanilah ayah
Hati mereka pastinya gundah
Kerana si dia kau berpaling tadah

Dik
Kakak hanya memberi nasihat
Sedarlah sayang sebelum terlambat
Cinta yang buta membawa musibat

Pesananku ini ada maknanya
Kerana aku pernah terkena
Sayang dan kasih biar berpada
Selebihnya berdoalah pada Yang Esa

Nukilan: SWEETIE

Monday, September 27, 2010

Pergi Sebentar

Hati ini sukar sekali difahami
Oleh diri sendiri
Apatahlagi insan2 yang mengenali diri

Saat ini
Perasaan yang ada silih berganti
Kadang aku terlalu menyayangi
Kadang aku terlalu merindui
Tapi sekelip mata pula aku rasa tidak menyukai
Bimbang juga kalau-kalau sampai aku membenci

Kenapa agaknya aku jadi begitu
Sendiri rasa keliru
Mungkinkah aku dibebani sesuatu
Yang aku sendiri tidak tahu

Jiwa aku keresahan
Seketika hilang ketenangan
Di mana harus aku perbetulkan
Supaya hidupku kembali aman

Seperti satu masa dahulu
Tanpa perkara yang mengganggu
Tanpa ada rasa keliru

Aku ingin bersendirian
Mungkin aku perlukan masa
Mencari semangat yang terbang entah ke mana
Maafkan aku teman andai aku kurang berbicara
Akan ku pastikan ianya hanya sementara

Satu masa nanti aku akan kembali
Dengan keriangan di hati
Bersama senyuman yang berseri-seri
Untuk kalian tatapi
Dan istimewa buat insan-insan yang menyayangi

Percayalah
Aku pergi hanya sebentar
Supaya resah dapat kulontar
Memujuk semangat yang mungkin gentar
Atau merajuk yang aku sendiri tak sedar

Nukilan: SWEETIE

Takdir Hidupku




Siapa sangka begini akhirnya
Takdir hidup yang tak dijangka
Aku sendiri meniti hari
Tanpa teman yang menemani

Ku renung kembali kisah lama
Mencari pengajaran yang berguna
Saat aku membuat pilihan
Pengalaman dulu jadi panduan

Aku tak harap putera kayangan
Mahupun lelaki yang penuh kesempurnaan
Kerna kutahu fitrah manusia
Takkan ada yang sempurna

Hati ini sukar dibaca
Jiwa dah rosak parah terluka
Ada yang hadir tanpa dipinta
Kadang ku tolak tak mampu terima

Aku keliru
Kadang aku mahu berteman
Kadang aku mahu sendirian

Saat aku mahu berteman
Habis semua akan ku layan
Tapi selalunya sekadar di talian
Sebab aku tak mahu berlanjutan

Tika aku mahu sendirian
Tikar sejadah jadi peneman
Air mata bercucuran
Mengharap kasih dariMu Tuhan

Nukilan : SWEETIE


Inilah Kehidupan




Takdir hidup kita langsung tak terjangka
Ada yang bahagia, ada yang derita
Tak terkecuali juga ada yang pendek usia

Tika kita kecil, yang kita tau hanyalah bermain
Bergaduh sesama teman, bertekak tentang perkara remeh-temeh
Melakukan apa sahaja mengikut hati dan perasaan

Kini kita telah dewasa
Sepanjang perjalanan sebuah kehidupan
Pelbagai peristiwa dan pengalaman kita lalui

Ada laluan kehidupannya sangat mudah
Ada laluan kehidupannya sangat susah
Ada yang tersesat
Ada juga yang terhenti di persimpangan

Ada yang sisi hidupnya realistik
Ada yang sisi hidupnya lakonan semata

Siapa pun kita, impian kita tetap satu
Bahagia di hujung usia
Mahupun bahagia selepas menutup mata

Lantaran itu, anggaplah kehidupan kita saat ini
Adalah satu daripada tempat persinggahan
Untuk kita belajar erti sebuah kehidupan

Andai kita sedang derita, berdoalah pelangi tiba
Andai kita sedang bahagia, bersiap sedialah dengan ujian dariNya
Andai kita telah tersesat, kembalilah semula ke pangkal mula

Andai kita terhenti di persimpangan
Jangan malu jangan segan bertanya jalan
Simpang mana yang harus dilalui
Agar kita tak tersesat lagi

Buat semua teman
Hidup kita bukan lama
Mungkin esok mungkin lusa
Kita akan kembali padaNya
Moga cukup bekalan dibawa
Untuk menghadap Pencipta kita

Amin....Ya Rabbal Alamin.

Nukilan: SWEETIE


Mencari Kepastian



Tika dia menutur bicara
Aku mendengar penuh setia
Membalas kata dengan ikhlasnya
Tanpa punya sebarang agenda

Namun fitrahku tak dapat dinafi
Butiran kata tersemat di hati
Sampai masa terimbas kembali
Mencari maksud yang tersembunyi

Bila tafsiran bertemu makna
Jiwa meronta melayan rasa
Apa tindakan menjadi susulan
Agar hidupku tak jadi penasaran

Gelodak perasaan tak dapat ku tahan
Ke mana harus aku luahkan
Perlukah aku terus bertahan
Atau melepaskan penuh kerelaan

Rumpun bambu menjadi saksi
Aku melayan kecewa diri
Mengharap sinaran datang kembali
Menemani hidup hingga ke mati


Nukilan: SWEETIE

Kunci hatiku

Satu masa satu ketika
Kusangka kunci hati ini telah hilang
Dan tak mungkin ku temui lagi

Rupanya aku tersilap
Kunci itu masih ada
Cuma aku yang terlupa
Di mana kusorokkan ia

Nah, kini kunci itu telah kutemui
Kugenggam seolah tak mahu kehilangannya lagi
Tiba-tiba kunci itu diminta oleh seseorang
Berat rasa hati untuk serahkan kunci itu pada dia
Tapi riak wajah yang ikhlas diiringi rasa bersungguh
Membuat aku rasa serba salah

Ku tanya hati bolehkah aku serahkan pada dia
Hati berkata YA
Lalu dengan rela kuserahkan kunci itu
Dengan impian setinggi langit
Agar hati ini dijaga dengan baik
Agar diri ini dihargai sepenuhnya
Agar ruang dalam hati ini sentiasa disiram dengan kasih sayang

Hingga kini aku masih menikmati bahagia
Bila kunci itu ditangannya
Dan berdoa agar satu hari nanti
Kunci itu akan jadi miliknya
Yang abadi

Nukilan: SWEETIE

Mencari Pelangi

Aku merenung langit
Yang kelihatan sangat cerah
Sambil mengintai di sebalik awan
Apakah pelangi akan muncul
Menambah keindahan alam

Oh....rupanya aku terlupa
Pelangi hanya akan muncul
Bila rintik-rintik hujan berderai
Tika matahari garang memancar

Lalu aku berdoa
Agar rintik-rintik hujan
Turun membasahi bumi saat ini
Agar aku dapat melihat keindahan pelangi

Dan akhirnya
Titis-titis hujan berderaian
Seolah menyambut doa yang kukirimkan
Cuma ia datang bersama mendung
Juga angin taufan dan ribut

Sudahnya
Harapan untuk melihat pelangi musnah
Aku pasrah dan redha
Perlu menanti lagi
Mungkin esok atau lusa
Atau mungkin bertahun lagi
Hanya untuk melihat keindahan pelangi
Menemani kembara kehidupan
Dalam mencari kebahagiaan

Nukilan: SWEETIE

Cinta Itu Bukan Milikku

Langit malam yang suram
Seakan gambaran naluri jiwa
Bila sesekali merenung masa silam

Untuk kesekian kalinya
Aku berpaling seketika
Mengimbau kenangan lalu
Pahit getir dalam pencarian
Selautan kasih sayang
Sebagai booster kehidupan

Satu ketika dulu
Aku menyimpan rasa hati
Pada seseorang yang aku kagumi
Perwatakannya
Riak wajahnya
Sifat kepimpinannya
Semuanya memukau pandangan

Tapi aku rasa kerdil
Siapalah aku tika itu
Budak hingusan dari sebuah kampung
Terpencil nun jauh di pedalaman
Sedangkan dia orang kebanyakan
Hidup di bandar yang banyak kemudahan
Lalu aku sekadar menyimpan
Perasaan yang mula berkembangan

Lalu aku bawa diri
Pergi ke kota mencari ilmu
Meninggalkan dia jauh disudut hatiku

Cinta itu bukan milikku

Berbekal ilmu di dada
Aku berjuang hingga ke menara
Di sini bermula cerita
Kisah cinta yang kusangka bahagia

3 tahun menyemai rasa
Akhirnya kami bersatu jua
Walau pelbagai rintangan melanda
Aku tega mempertahankannya

Malangnya cinta itu bukan sejati
Akhirnya aku mengundur diri
Setelah bertahan dan makan hati
Kulepaskan dia mencari bahagia sendiri

Sekali lagi
Cinta itu bukan milikku

Seketika tadi
Hatiku terusik lagi
Kali ini ia datang tanpa undangan
Juga bukan kerana paksaan
Jiwa meronta dari kejauhan
Ingin memiliki sesuatu yang terlarang

Mujur tersedar dari lamunan
Itu hanya satu impian
Yang tak mungkin jadi kenyataan

Untuk kesekian kalinya
Aku harus terima
Cinta itu bukan milikku

Nukilan : SWEETIE

Kembara Sebuah Cinta

Aku suka tajuk novel tu...Adamaya.

Kembara
Satu perjalanan yang jauh
Mencari sesuatu pengertian
Mencari sesuatu kepastian

Kepastian dan pengertian
Tentang cinta
Tentang kasih
Tentang sayang

Yang
Kadangkala hadir tanpa diduga
Kadangkala hadir tanpa dipinta
Kadangkala hadir dengan impian
Kadangkala hadir dengan harapan

Sebuah cinta
Naluri jiwa anugerah Ilahi
Tak mungkin ditolak tika ia menghampiri
Tak mungkin dijangka bila ia akan pergi

Bila CINTA menguasai diri
Ada yang tenang menghadapinya
Ada yang bergetar melaluinya
Ada yang alpa sehingga rosak jiwanya

Kembara sebuah cinta
Satu perjalanan yang indah sebenarnya
Kalau ia dilalui dengan iman dihati
Kalau ia direntasi dengan rasa amanah yang diberi
Kalau ia disusuri dengan keikhlasan dalam diri

Nukilan : SWEETIE

Pintu & Kunci

Satu ketika dulu
Pintu itu terbuka seluasnya
Memberi peluang kepada mereka bertandang
Tanpa memilih rupa
Tanpa memilih harta

Sampai masa
Seseorang hadir
Membawa seberkas kunci
Bersama kasih suci
Bersama cinta sejati
Lalu pintu itu tertutup rapi
Membenarkan hanya dia seorang di hati

Tiba-tiba
Muncul insan ketiga
Tanpa salam
Tanpa ucapan
Merayu dia
Yang sedang keresahan
Berdepan ujian dan dugaan kehidupan
Agar keluar dari pintu hati
Yang telah hampir sedekad didiami

Kini
Setelah dia pergi
Pintu itu tertutup kembali
Seolah-olah tidak lagi sudi
Menerima kehadiran lelaki
Dalam hidup ini
Bagaikan terkunci mati
Dan hilang tak mungkin berjumpa lagi

Nukilan: SWEETIE

Cinta

Perasaan itu muncul tiba-tiba
Tanpa aku jangka
Bermula dari suka
Beralih kepada sayang
Dan kini timbul rasa cinta

Namun jika takdir tertulis
Cinta itu bukan milikku
Aku pasrah
Aku redha

Selagi mampu
Aku bertahan
Seandainya tidak
Aku mengalah
Dan pergi
Walau tanpa kerelaan hati

Andai cinta itu masih di hati
Akan ku biar tanpa harapan
Akan ku kenang sebagai kenangan
Kerana ia satu anugerah
Yang tak ternilai dari Ilahi
Yang hadir tika aku memerlukan
Yang datang saat aku keseorangan

Membuak-buak rasa di jiwa
Memiliki cinta yang hadir tanpa diduga
Apakan daya
Ia cuma wujud di alam mimpi
Yang tak mungkin menjadi realiti
Membiarkan aku terus sendiri
Menyusuri kehidupan yang penuh onak dan duri

Nukilan : SWEETIE

Nota Buat Mak

Mak...
Malam tadi ida tak boleh lena
Hati meronta-ronta untuk mencipta
Melakar kata meluah rasa
Istimewa untukmu ibu tercinta

Mak...
Kala ida lahir ke dunia
Mak dan abah bersengkang mata
Menjaga permatamu ini dengan sempurna
Mendidik, membimbing setiap masa
Agar menjadi insan berguna

Mak...
Kasihmu itu bagaikan syurga
Buat anak-anakmu berasa bangga
Memilikimu sebagai mutiara
Yang bersinar setiap masa

Mak...
Kini ida bergelar ibu
baru kutahu ertinya sendu
Bila anak-anak melawan kata
Bila anak-anak meninggi suara
Bila anak-anak berpaling muka

Mak...
Hampir setahun abah pergi
Tinggalkan mak hidup sendiri
Kami anak-anak turut merasai
Kembalinya abah kepada Ilahi
Memberi kesan dalam hati ini
Apatahlagi mak sebagai isteri

Mak...
Kasar pandangan kita serupa
Berpisah dengan insan tercinta
Cuma mak berbeza dunia
Sedangkan ida masih jelas di depan mata

Mak...
Cekal hatimu mengalir dalam diri ini
Melawan badai yang datang tanpa henti
Terima kasih mak kerana menyayangi
Menjadikan ida lebih tabah dan berani

Mak...
Hari ini hari lahirmu
Bertambah lagi usia tuamu
Namun kasihmu kekal begitu
Mengasihiku tanpa ragu

SELAMAT HARI LAHIR....MAK
AMPUNKAN SALAH SILAP ANAKMU INI
DARI HUJUNG RAMBUT HINGGA KE HUJUNG KAKI
HALALKAN SETIAP TITISAN SUSU YANG KAUBERI
MOGA KEHIDUPAN KITA DIBERKATI ILAHI

Nukilan : SWEETIE

Bahagia Dalam Derita

Kalau ditanya pada hati
Bahagiakah aku saat ini
Ya, memang aku bahagia

Aku miliki segala
Anak2, harta dan kerjaya
Yang aku tiada
Hanya teman sejiwa

Namun disebalik bahagia itu
Terselit juga rasa derita
Derita yang masih kekal
Angkara kisah lama

Hanya ketabahan dan kesabaran
Yang mampu aku kekalkan
Melawan rasa derita
Demi anak2 yang tercinta

Nukilan: SWEETIE

Senyum

Senyum
Terukir indah di wajah
Nampak manis bila dilihat
Nampak ayu bila dipandang
Nampak anggun bila direnung

Senyum
Terpamer kerana pelbagai alasan
Ada yang hadir kerana jenaka
Ada yang hadir kerana ceria
Ada yang hadir kerana terpaksa
Ada juga yang hadir kerana terluka

Senyum
Yang ikhlas datang dari hati
Yang syahdu datang dari kalbu
Yang palsu datang dari jiwa yang keliru

Senyum
Adakala mempesonakan
Adakala membahagiakan
Adakala menakutkan
Adakala menyakitkan

Senyum
Biarlah ia satu sedekah
Untuk tatapan rakan dan taulan

Nukilan : SWEETIE

Malam Yang Hangat

Aku gelisah
Bagai ada yang tak kena
Ku pandang kiri
Ku pandang kanan
Anak-anak lena dibuai mimpi

Lalu aku bangkit
Ku buka tirai jendela
Mengharapkan angin menerjah masuk
Mendinginkan malam ku yang hangat
Tapi hampa
Suhu sudah diturunkan paling minimum
Namun aku masih lagi terasa bahang

Apakah malam ini memang hangat
Atau hati aku yang kepanasan?
Atau jiwa aku yang rasa kontang?
Atau naluri aku yang kehausan?
Entahlah.....

Nukilan : SWEETIE

Berdua atau Sendiri


Sejenak aku terpaku
Menyusuri liku-liku kehidupan
Yang telah kulalui 3 dekad lamanya

Masih terbayang di ruang mata
Kala aku dimanjakan oleh emak dan abah
Berlari riang tanpa ada masalah
Seakan bahagia itu kekal selamanya
Hakikatnya perjalanan hidup ini masih jauh

Saat akad dilafaz, ijab disahut
Hanya satu impian dihati
Ingin melihat mahligai terbina dengan sempurna
Memiliki keluarga yang ceria
Tapi siapa aku untuk melawan takdir
Diberi peluang hanya seketika
Melayari bahtera bersama yang tercinta

Aku redha dan pasrah
Percaya ini adalah yang terbaik untukku
Belajar memahami erti kehidupan yang sebenar
Sebagai bekal untuk aku teruskan perjalanan
Yang penuh onak dan ranjau

Sedikit pun aku tidak pernah menyesal
Kerana aku telah lakukan dengan bersungguh
Cuma nasib belum menyebelahiku
Namun aku tau
Satu masa, satu ketika
Pelangi akan muncul jua
Setelah hujan panas reda

Hari ini
Aku tega berdepan dengan ombak yang datang tiba-tiba
Menghempas ganas ke tasik hati
Goyah juga aku seketika
Sepantas kilat aku bangkit
Dari terus tersungkur
Walau pedih, walau perit
Aku terus mencari jawapan
Yang mana lebih serasi
Hidup BERDUA atau SENDIRI
Dalam mencari kebahagiaan yang abadi

Nukilan: SWEETIE

Hari ini

Hari ini
Aku terasa hati
Dengan sesuatu yang mengganggu
Minda dan jiwa

Hari ini
Aku mengambil masa
Merenung kembali
Akan hikmah yang terjadi
Di sebalik keraguan hati

Hari ini
Aku menyedari
Betapa kerdilnya diri ini
Bila lelah menguasai
Tika cuba melawan takdir

Hari ini
Aku kembali mencari
Sesuatu yang telah hilang
Tanpa aku sedari
Saat leka mengejar pelangi
Iaitu ketenangan yang abadi...

Nukilan: SWEETIE

Bosan

Bosan
Perasaan yang datang tiba-tiba
Bila hati rasa sunyi
Bila jiwa rasa sepi
Bila kalbu disakiti

Bosan
Menguasai diri
Kalau ada yang mengganggu minda
Dengan perkara2 yang entah apa-apa
Dan aku harus peka
Bertindak dengan segera
Agar tak terus rasa terseksa
Dengan rasa jiwa yang bergelora

Nukilan : SWEETIE

Dia

Dia
Dalam diam mengintai hatiku
Tanpa kata
Tanpa suara
Hanya dengan lirikan mata

Dia
Akhirnya membuka bicara
Setelah sekian lama
Membisu seribu bahasa

Dia
Bukan pilihan hati
Juga bukan pilihan Family
Tapi hadirnya yang tiba-tiba
Berjaya mencuri hati
Yang sekian lama terkunci

Nah
Kunci yang hilang telah ditemui
Oleh insan bernama lelaki
Namun aku tak pasti
Apakah ia realiti
Atau hanya mimpi

Nukilan: SWEETIE

Sunyi & Sepi

Mereka bertanya
Pernahkah aku rasa sunyi?

Terkebil2 aku nak menjawab. Sunyi yang macamana mereka maksudkan. Apa definisi sunyi sebenarnya?

Sunyikah aku bila setiap hari mendengar gelak tawa dan tangisan anak2?
Sunyikah aku bila setiap hari dikelilingi teman2 di pejabat?
Sunyikah aku kalau setiap hari aku bergelak ketawa?
Sunyikah aku kalau setiap hari aku masih mampu tersenyum?
Sunyikah aku kalau setiap hari aku sentiasa menyanyi lagu2 kegemaranku?

Aku tak pernah rasa sunyi. Cuma sesekali aku rasa sepi.

Sepi bila tiada yg mendengar keluhan hati ini.
Sepi bila tiada insan yang dapat kukongsikan rasa kasih.
Sepi bila kukenangkan insan2 yang tak mungkin kutemui lagi di dunia ini.
Sepi bila anak2 tiada disisi.
Sepi bila tiba-tiba aku rasa jauh dari Rahmat Allah.

Pengubat sepi hanya dengan merayu dan merintih di atas sejadah.
Menginsafi segala kekurangan diri.
Meredhakan apa jua yang terjadi.
Meyakini ketentuan Ilahi adalah yang terbaik buat diri ini.

Sunyi & sepi...
Masa untuk aku lebih mengenali diri.

Nukilan: SWEETIE

Apakah itu

Aku tersipu malu
Tatkala kau memegang jemariku
Dengan renungan yang menusuk di kalbu

Hati berdebar-debar
Terasa aliran darah mengalir laju
Menyusuri segenap tubuh
Apakah perasaan itu?

Kuimbas kenangan lalu
Pernahkah ini berlaku
Namun aku buntu
Lain benar perasaan yang mengganggu

Mungkinkah kasih mungkinkah sayang
Entahlah
Kubiar ia berlalu
Kupujuk hati agar tidak melayani lagi
Naluri yang aku sendiri tak pasti

Nukilan: SWEETIE

Antara Mimpi dan Realiti

Termenung di jendela
Tatkala menatap sang cahaya
Yang mula redup
Dilitupi awan, bukan petanda hujan
Tapi telah tiba masa untuk berehat
Memberi laluan pada Sang Bulan
Menjenguk diri
Menghilangkan kerinduan
Sang pungguk

Aku tiba2 rasa sayu
Apakah ini mimpi
Atau realiti
Saat2 yang telah lama kuidamkan
Menjelma di depan mata
Terhampar pemandangan indah
Laut nan terbentang
Sayup2 kedengaran deruan ombak
Indah sungguh kurasakan

Ruang hati rasa terisi
Dengan limpahan rasa nikmat
Yang tak pernah aku rasai
Nikmat kasih sayang
Nikmat kesyukuran
Nikmat kedamaian
Terima kasih
Pada dia yang menjadikan
Mimpi itu satu realiti

Nukilan : SWEETIE

Rindu Umpama Bayang-bayang

Rindu itu bagaikan bayang-bayang
Bila terang, ia hadir walaupun puas diusir
Bila gelap, ia hilang biarpun puas kita undang

Namun jangan keliru
Ada rindu yang hadir dari hati
Ada rindu yang datang dari minda

Bila kita teringat seseorang
Atau sesuatu perkara
Itu rindu dari minda
Masih boleh tersenyum
Masih boleh berkhayal
Masih boleh bermimpi

Tapi bila rindu itu hadir bagai renjatan elektrik
Mengalir deras mengikut aliran darah
Bisanya menyucuk2 hingga ke tulang
Itulah rindu yang datang dari hati
Rindu ini, andai dapat dipenuhi
Jiwa rasa tenang, minda rasa lapang
Bibir mengukir senyum
Menggambarkan keBAHAGIAan yang dikecapi

Namun andai rindu itu tidak kesampaian
Jiwa bergelora, mendung menyelubungi
Dan akhirnya mengalirlah air mata
Turun umpama hujan
Menyejukkan hati yang kegersangan
Menghentikan gelora yang melanda