Kadang ada perkara yang tak terluah dengan lisan....maka luahkanlah dengan perasaan :)

Friday, April 13, 2012

Hadirlah Kekasih

Sendiri lagi
Bila cinta hati dibawa pergi
Pergi membawa semangat diri

Di atas katil
Mata ini terkebil-kebil
Ku pandang kiri
Ku pandang kanan
Dua puteri tiada di sisi
Lenaku tiada yang menemani

Fikiran terbayang kisah yang lalu
Saat aku gundah dan sayu
Getir hidup yang aku tempuh
Terkadang membuat aku mengeluh

Pengalaman itu terlalu pahit
Terpaksa ku telan walaupun perit
Hingga kini terasa sakit
Walaupun hidupku bertambah baik
Takkan mampu membayar balik
Kerna aku tak lupa walau sedetik

Puas kurawat hati yang luka
Ada masa ia berdarah semula

Ku perlukan siraman kasih
Buat penawar gundah dan sedih
Ku mohon padaMu Yang Maha Pengasih
Hadirkanlah insan berhati mulia
Ikhlas mencurah kasih dan cinta
Membimbing aku ke jalan yang diredhaNya

Amin...Ya Rabbal Alamin

~ SWEETIE ~

Wednesday, December 8, 2010

Impian Jiwa

Sunyi malam menemani aku saat ini
Ada ingatan yang sukar dipadam
Ada rindu yang bertandang dalam diam
Ada cinta yang mungkin terpendam

Ku tanya pada hati
Apa yang dirasa saat ini
Hati sendiri rasa keliru
Pelbagai perasaan mengganggu
Sukar dilerai satu per satu

Tahun hijrah telah berganti
Aku masih lagi sendiri
Kerana hati masih terkunci
Bimbang kiranya kecewa lagi

Tapi fitrah tak mampu dilawan
Jiwa meronta inginkan teman
Lalu kubuka jendela hati
Mengintai insan ku rasakan serasi
Buat penawar hidup yang sepi

Walau kini aku bahagia
Namun hidup masih tak sempurna
Kerna tak punya teman sejiwa
Menemani aku kala berduka

Padamu Tuhan aku berdoa
Temukan aku dengan si dia
Ku ingin mati di dalam redha
Seorang suami untuk ke syurga

Amin...Ya Rabbal Alamin.

Nukilan : SWEETIE

Wednesday, December 1, 2010

Antara Suka dan Cinta

Suka
Bila MELIHAT dia tersenyum
Bila MELIHAT dia tertawa
Bila MELIHAT dia gembira
Bila MELIHAT dia bahagia
Walaupun hanya dari jauh

Cinta
Bila mampu MEMBUAT dia tersenyum
Bila mampu MEMBUAT dia tertawa
Bila mampu MEMBUAT dia gembira
Bila mampu MEMBUAT dia bahagia
Dengan segala usaha yang ada

Suka
Saat dia tidak memberi reaksi
Saat dia tidak mahu berkongsi rahsia hati
Saat dia tidak menghargai
Kadang kita hanya terasa hati
Kadang kita buat-buat tak reti
Tanpa apa-apa yang mengganggu diri

Cinta
Saat dia berdiam diri
Saat dia gundah sendiri
Saat dia berjauh hati
Saat dia berpaling pergi
Kita terasa bersalah sekali
Seolah kita penyebab segala yang terjadi

Suka
Bercerita apa sahaja tanpa perlu berselindung
Bergurau-senda tanpa perlu risau dia tersinggung
Tak perlu menyusun kata yang indah berbunga
Tak perlu keizinannya kalau mahu ke mana-mana
Kerana dia hanya kawan
Kerana dia hanya teman
Tangisan dia kita tenteramkan
Ketawa dia kita biarkan

Cinta
Ada cerita perlu disimpan
Ada gurauan yang perlu batasan
Melafaz kata dengan perasaan
Ke mana-mana perlukan keizinan
Kerana dia kekasih hati
Kerana dia sebahagian dari diri
Menangis dia berdukalah kita
Ketawa dia kebahagiaan buat kita

Nukilan: SWEETIE

Tuesday, November 23, 2010

Misteri Cinta 2

Kataku
Kisahmu itu satu dalam seribu
Bertuah rasanya menjadi si ratu
Walau terpisah dia tetap bertakhta di hatimu

Kataku
Cinta yang hadir dalam hidupmu
Sangat unik pada pandangan mataku
15 tahun kau korbankan jiwa
Secalit bahagia selebihnya derita
Terang dan nyata kau memang perwira
Dalam medan cinta setia

Kataku
Perasaanmu itu anugerah Ilahi
Tak mungkin hilang terkunci di hati
Jangan dipaksa ia pergi
Kelak nanti kau merana lagi

Kataku
Bukalah minda lapangkan jiwa
Menerima takdirmu dengan ikhlasnya
Mungkin terbentang nikmat bahagia
Bukan sekarang tapi di hujung usia

Kataku
Cinta itu luas maknanya
Tersalah tafsir buruk kesannya
Memberi ruang kita menderita
Sedangkan sepatutnya kita gembira

Kataku
Cinta itu naluri hati
Kadang hadir tanpa dikesan
Kadang hadir tanpa undangan
Kadang hadir dengan paksaan

Kataku
Cinta yang hadir tanpa dikesan
Mungkin ia cinta misteri
Dalam diam ia mekar
Dalam senyap ia menjalar
Dalam sendu menjadi rindu
Cinta ini kekal di hati
Walau kita tak mungkin memiliki

Kataku
Cinta yang hadir tanpa undangan
Mungkin ia cinta sejati
Bermula suka kemudian kasih
Dari kasih menjadi sayang
Bersatu semuanya membina cinta
Yang mungkin kekal abadi selamanya
Membawa sehingga ke hujung nyawa

Kataku
Cinta yang hadir dengan paksaan
Cinta itu cinta duniawi
Hidup sentiasa dalam kepura-puraan
Senyuman terukir tanpa keilkhlasan
Segalanya hanya kepalsuan
Kelak ia akan membinasakan

Kataku
Cinta bagiku suci dan murni
Tidak bermakna aku harus miliki
Cukuplah jiwaku sentiasa dipenuhi
Rasa kasih seikhlas hati
Mungkin takdirku terbaik buatnya
Walau derita pada pandangan mata

Kataku
Wahai teman redhalah sayang
Takdir hidupmu terbaik buatnya
Andai kau dan dia kekal bersama
Mungkin dia lebih derita
Kerna masa depan tak boleh diramal
Mungkin juga jodoh tak kekal
Kita hanya mampu merencana
Allah jua penentu segala.....

** Kita diuji kerana Allah tahu kita mampu melaluinya.....

Nukilan: SWEETIE

Misteri Cinta 1

Katanya
4 tahun aku jadi penjaga
Kerna dia tak punya sesiapa 
Tika menambah ilmu di dada
Hidup merantau jauh dari keluarga

Katanya
Ku carikan dia keluarga angkat
Agar dia rasa selamat
Tapi hampir datang satu musibat
Lalu aku jadi penyelamat

Katanya
Sayang mekar di dalam hati
Semakin bercambah hari ke hari
Kenangan tercipta antara mereka
Maka wujudlah rasa cinta

Katanya
Satu saat si dia kembali
Kepada keluarga yang dikasihi
Kononnya hanya ingin bercuti
Tapi lain pula yang terjadi

Katanya
Jodoh si dia telah di atur
Tiada pilihan terpaksa akur
Apakan daya si anak dara
Segala kuasa milik keluarga

Katanya
Kecewa menjadikan dia alpa
Berubah sikap dengan ketara
Banyak yang salah dibuat sengaja
Konon kurangkan derita jiwa

Katanya
Untuk satu tempoh yang lama
Dia cuba mencari formula
Melupakan kenangan yang pernah tercipta
Tapi gagal kerana cinta itu buta baginya

Katanya
Bagai bermimpi di siang hari
Si dia tiba-tiba kembali di sisi
Rupanya si gadis juga merana
Kerana mahligai itu neraka buatnya

Katanya
Bagaikan wira penyelamat dunia
Dia berusaha kembalikan cinta
Yang pernah wujud antara mereka
Meraih impian untuk bersama

Katanya
Kali ini biarlah teguh
Apa halangan akan dirempuh
Dengan harapan untuk bersatu
Walau si dia punya waris yang satu
Yang penting cinta itu masih kekal
Melekat di hati tak pernah tanggal

Katanya
Saat hampir melamar si dia
Terjadi lagi satu peristiwa
Sekali lagi si dia terpaksa
Menerima pilihan keluarga tercinta

Katanya
Kali ini aku jatuh tersungkur
Malah kerjayaku hancur dan lebur
Bagaikan halilintar menyambar ngeri
Aku hilang semangat diri
Kadang terlupa aku lelaki
Dalam diam aku menangis sendiri

Katanya
Kisah itu masih menghantui
Dari dulu hingga saat ini
Walau dendam datang menjengah
Tak mampu melawan rasa cinta yang indah

Katanya
Aku terlalu sayangkan dia
Hingga aku menyimpan setia
15 tahun aku menderita
Masih mengharap untuk bersamanya

Katanya
Meskipun dia bunga larangan
Aku tetap menyimpan perasaan
Kerna ku tahu dia juga begitu
Cinta dan sayang sebenarnya milikku

Katanya
Sampai bila harus begini
Usia meningkat hari ke hari
Satu masa satu ketika
Aku harus merungkai segalanya

Katanya
Aku akan berdepan semua
Agar mereka membuka mata
Kerana cinta aku tersiksa
Kerana cinta aku merana
Semuanya angkara mereka
Yang tak memahami misteri cinta

***bersambung.......

Nukilan: SWEETIE

Siapa Sangka - Terima Kasih Tuhan

Hening subuh
Menyapa fikiranku
Mengajak aku memahami sesuatu

Siapa sangka
Wajah yang dihiasi senyuman manis ini
Satu ketika dulu
Pernah suram mengenang masa depan
Pernah mendung akibat hitamnya awan
Pernah hujan dek kerana hati yang rawan

Siapa sangka
Tubuh yang padat berisi ini
Satu ketika dulu
Sangat letih melayan jiwa yang luka
Sangat kecewa akibat perbuatan manusia
Sangat sengsara menanggung ujian dunia

Siapa sangka
Hati yang kini tenang
Satu ketika dulu
Bergantung hidup dengan harapan
Berharap impian jadi kenyataan
Menganggap mimpi itu satu dorongan

Kini
Wajah yang pernah suram itu
Berganti dengan senyuman indah
Wajah yang pernah mendung itu
Bersinar-sinar tanpa rasa gundah

Kini
Letih yang pernah ditempuh
Berganti dengan semangat baru
Kecewa yang pernah menyapa
Telah pergi dibawa angin lalu
Sengsara yang pernah dirasa
Berlalu tanpa rantaian belenggu

Kini
Aku betah hidup tanpa harapan
Hanya menyimpan beberapa impian
Dan menganggap mimpi itu satu hayalan
Sebagai peneman saat aku kesepian

Yang pasti kini
Aku temui ketenangan
Aku menghayati erti sebuah kehidupan
Dan yang penting
Aku bahagia disamping kalian sebagai teman
Terima kasih Tuhan

Nukilan: SWEETIE

Buatmu Teman

Teman
Dari renungan matamu
Dari riak wajahmu
Dari tutur bicaramu
Tersimpan seribu rahsia

Kurniaan Ilahi aku perolehi
Membaca hatimu tanpa kau sedari
Nyata kau hidup dengan belenggu
Kesan dari kisahmu yang lalu

Teman
Aku melihat bukan dari mata
Tapi dari hati untuk menilai semua
Kau memang punya harapan
Kau memang punya impian
Cuma kau seolah kehilangan
Semangat diri untuk teruskan perjuangan

Teman
Hadirnya aku bukan untuk menambah beban
Sekadar menemani jika kau memerlukan
Ikhlasnya aku untuk menceriakan
Agar bibirmu sentiasa mengukir senyuman
Dan hatimu beroleh ketenangan

Teman
Andai hadirku mengganggu hidupmu
Katakan sahaja terus padaku
Usah kau gusar akan hatiku
Kerna mindaku terbuka selalu
Dengan rela aku pergi
Takkan terus mengusikmu lagi
Namun aku setia menanti
Kalau-kalau aku diperlukan satu hari nanti

Nukilan: SWEETIE

Sunday, October 3, 2010

Kau Lelaki






Peluang telah kuperolehi
Mengenali lelaki yang berbagai posisi

Ada yang bujang sedang mencari
Kekasih hati untuk dibuat isteri
Ada yang bujang tapi berhenti mengharap lagi
Mungkin pernah kecewa, luka parah di hati

Ada yang duda kematian isteri
Ada yang duda menceraikan bini
Ada yang duda akibat kecuaian sendiri

Yang ramai mengelilingi adalah sang suami
Menikus di rumah, di luar berani
Depan isteri pijak semut pun tak mati
Belakang isteri huh....terlebih aksi

Peluang kubuka untuk didekati
Supaya aku memahami kerenah lelaki
Macam-macam ragam aku temui
Sampai aku lelah sendiri

Yang bujang ragamnya memeningkan
Yang duda ragamnya menyusahkan
Yang beristeri memang menyenangkan
Tapi akibatnya sangat membahayakan
Silap haribulan aku yang panasaran

Wahai manusia bergelar lelaki
Kalian tercipta untuk melindungi
Hawa yang lemah ciptaan Ilahi
Peganglah amanah sepenuh hati
Bukan menyakiti apatahlagi melukai
Mengambil kesempatan pentingkan diri
Hingga menimbulkan rasa benci

Pesanan ini untuk semua
Bukan niat untuk mengata
Cuma berharap kalian buka mata
Lindungilah kami kaum hawa
Kelemahan yang ada perlu dibela
Barulah kalian digelar Khalifah di dunia

Nukilan: SWEETIE




Tuesday, September 28, 2010

Pesanan Buat Adik-adik Perempuanku

Dik
Tika kau lahir ke dunia ini
Mak dan abah menyambutmu
Dengan penuh kesyukuran
Dengan penuh kebahagiaan
Kau dibelai dan dimanja
Sampai dirimu menginjak remaja

Dik
Bila usiamu belasan tahun
Mak dan abah mula gelisah
Inilah saat bermula sejarah
Bila perasaanmu mula dijamah
Naluri cinta yang mungkin membawa padah

Dik
Kapan cinta datang menyapa
Memang kau akan rasa bahagia
Lupa seketika ibu dan bapa
Kononnya si dia lebih berharga
Umurmu itu setahun jagung
Tak tahu membeza buaya dan jerung
Baik si dia mungkin bermakna
Mengajak kamu ke lembah hina

Dik
Kasihanilah mak kasihanilah ayah
Hati mereka pastinya gundah
Kerana si dia kau berpaling tadah

Dik
Kakak hanya memberi nasihat
Sedarlah sayang sebelum terlambat
Cinta yang buta membawa musibat

Pesananku ini ada maknanya
Kerana aku pernah terkena
Sayang dan kasih biar berpada
Selebihnya berdoalah pada Yang Esa

Nukilan: SWEETIE

Monday, September 27, 2010

Pergi Sebentar

Hati ini sukar sekali difahami
Oleh diri sendiri
Apatahlagi insan2 yang mengenali diri

Saat ini
Perasaan yang ada silih berganti
Kadang aku terlalu menyayangi
Kadang aku terlalu merindui
Tapi sekelip mata pula aku rasa tidak menyukai
Bimbang juga kalau-kalau sampai aku membenci

Kenapa agaknya aku jadi begitu
Sendiri rasa keliru
Mungkinkah aku dibebani sesuatu
Yang aku sendiri tidak tahu

Jiwa aku keresahan
Seketika hilang ketenangan
Di mana harus aku perbetulkan
Supaya hidupku kembali aman

Seperti satu masa dahulu
Tanpa perkara yang mengganggu
Tanpa ada rasa keliru

Aku ingin bersendirian
Mungkin aku perlukan masa
Mencari semangat yang terbang entah ke mana
Maafkan aku teman andai aku kurang berbicara
Akan ku pastikan ianya hanya sementara

Satu masa nanti aku akan kembali
Dengan keriangan di hati
Bersama senyuman yang berseri-seri
Untuk kalian tatapi
Dan istimewa buat insan-insan yang menyayangi

Percayalah
Aku pergi hanya sebentar
Supaya resah dapat kulontar
Memujuk semangat yang mungkin gentar
Atau merajuk yang aku sendiri tak sedar

Nukilan: SWEETIE